Sunday, July 13, 2008

PEMIKIRAN USMAN AWANG

PEMIKIRAN USMAN AWANG: PERJUANGAN

SOSIAL YANG TERUS RELEVAN

Shahrun Nizal Mohd.Nor

Pendahuluan

KARYA-KARYA Sasterawan Negara, Datuk (Dr.) Usman Awang telah banyak diperkatakan, baik dari segi intrinsik mahupun esktrinsiknya. Estetika karyanya yang indah serta pemikirannya yang sarat dengan suara kemanusiaan juga telah banyak dikaji. Sebagai seorang sasterawan, Usman awing dikenali sebagai insan yang romantik melalui pelbagai tenik dan gaya bahasanya yang indah, biarpun dalam memperkatakan sesuatu pemikiran yang besar.

Usman Awang dianggap seorang pejuang sosial menerusi karya-karyanya yang memperlihatkan keprihatinannya terhadap isu-isu masyarakat. Antara tema yang sering dipaparkan dalam karyanya ialah tema nasionalisme, dan pembelaan nasib golongan bawahan. Pemikirannya jelas tanpa perlu disuluh lagi, seiring dengan penglibatan aktifnya dalam Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) yang memperjuangkan “Seni untuk Masyarakat”.

Usman Awang menulis dalam pelbagai genre, puisi, cerpen, novel dan juga drama. Dalam apa juga genre penulisan yang dihasilkannya, idiosinkrasinya sebagai seorang pejuang sosial tetap terserlah. Namun, perjuangan ini bukanlah bermakna beliau meminggirkan keindahan karyanya. Karyanya tetap indah dan bermakna sama ada beliau memperkatakan soal yang kecil mahupun soal yang besar dalam masyarakat.

Karya-karyanya telah memperlihatkan suara hati marhaen pada setiap dekad pengkaryaannya. Beliau berkarya sejak zaman sebelum kemerdekaan, zaman darurat (1948-1960) dan zaman pascamerdeka. Golongan marhaen yang dibela dan dihargainya yang dipancarkan melalui karya terlalu ramai. Antaranya ialah pejuang nasionalisme, buruh, anggota polis, nelayan, petani, mahasiswa, guru dan sebagainya.

Tulisan ini bertujuan memperlihatkan bahawa perjuangan sosial yang dilontarkan melalui pemikiran lewat karyanya sejak lebih 50 tahun lalu masih lagi relevan dengan tuntutan zaman kini. Perjuangannya masih lagi belum bernokhtah, biarpun roh dan jasadnya telah pergi meninggalkan kita. Perjuangan aspek sosialnya cukup luas, namun tulisan ini hanya akan memfokuskan perjuangan sosialnya dan beberapa aspek melalui karya-karya puisinya, iaitu perjuangan membangkitkan jiwa merdeka rakyat, perjuangan membela golongan pekerja bawahan, dan perjuangan memartabatkan bahasa.

Perjuangan Membangkitkan Jiwa Merdeka Rakyat

Pada zaman sebelum kemerdekaan, karya-karyanya dalam pelbagai bentuk mengandungi seruan yang membangkitkan semangat nasionalisme kepada rakyat. Sajak “Jiwa Hamba”, “Langit Tinggi”, “Aliran Hidup”, “Aku Sedar”, “Tanah Air” dan banyak lagi yang dihasilkan antara tahun 1949-1956 adalah antara sajak yang bertemakan semangat nasionalisme yang menyeru rakyat agar bangkit untuk membebaskan diri daripada belenggu penjajah. Buakn setakat seruan kemerdekaan daripada penjajahan kuasa asing yang diperkatakannya, bahkan beliau juga memperkatakan elemen menuju kemerdekaan, iaitu islah dalam diri (perubahan). Kemerdekaan tidak hanya akan tercapai hanya dengan kata-kata, seperti petikan sajak “Jiwa hamba” di bawah:

Kalau hidup ingin merdeka

Tiada tercapai hanya berkata

Ke muka maju sekata, maju kita

Melemparkan jauh jiwa hamba.

Ingatkan kembali kata sakti

Dari bahang kesedaran berapi

“Di atas robohan kota Melaka,

Kita dirikan jiwa merdeka”.

Menurut Usman Awang dalam sajak tersebut, “kalau hidup ingin merdeka/ tiada tercapai hanya berkata/ ke muka maju sekata, maju kita/ melemparkan jauh jiwa hamba”. Sajak di atas ditulis pada tahun 1949, iaitu lapan tahun sebelum kemerdekaan Tanah Melayu. Selepas 49 tahun negara Malaysia mencapai kemerdekaan, apa yang diperkatakan oleh Usman Awang itu sememangnya benar, kerana sekiranya kemerdekaan negara ini hanyalah semata-mata bebas daripada penjajahan kuasa British, sudah tentu Malaysia tidak akan mencapai kemakmuran seperti yang dinikmati pada hari ini.

Usman Awang teruja dan kagum dengan ketokohan pejuang nasionalisme tanah air yang dianggap oleh pihak penjajah sebagai kumpulan berhaluan kiri, iaitu Dr. Burhanuddin Helmi. Oleh sebab itu, sajak di atas mengandungi petikan kata-kata Dr. Burhanuddin yang cukup terkenal dalam membangkitkan kesedaran rakyat dan membangkitkan jiwa merdeka rakyat, iaitu “Di atas robohan kota Melaka, kita dirikan jiwa merdeka”. Usman Awang juga menghasilkan sajak untuk mengenang jasa pejuang nasioanalisme tanah air yang lain. Beliau menghasilkan sajak-sajak seperti “Boestamam”, “Dato Onn”, dan “Pak Sako Putera Besar Tanah air”. Sungguhpun demikian, bukanlah bererti beliau berada di pihak golongan berhaluan kiri walaupun karya-karyanya benyak yang mengkritik penjajah dan menegur kerajaan.

Kebanyakkan negara yang dibebaskan oleh penjajah Barat seperti British, Belanda dan Perancis selepas Perang Dunia Kedua, khususnya negara-negara Asia dan Afrika tidak dapat membebaskan diri sepenuhnya daripada penjajahnya, khususnya pada awal kemerdekaan negara-negara tersebut. Hal yang demikian juga berlaku terhadap negara ini. Biarpun Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, soal pertahanan Negara masih lagi bergantung kepada British. Ini terbukti apabila angkatan tentera dan polis masih juga diketuai oleh pegawai-pegawai Inggeris. Hanya pada dekad 1970-an, baharulah kita tidak banyak bergantung kepada Barat.

Jiwa yang merdeka bagi sesebuah negara bererti negara itu sanggup melakukan sesuatu perubahan drastik demi mengecapi kemajuan. Pada tahun 1980-an, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu melancarkan Dasar Pandang ke Timur, dengan menjadikan Jepun sebagai contoh untuk menjadi sebuah negara maju. Jepun dijadikan contoh kerana walaupun ekonomi negara itu musnah akibat Perang Dunia Kedua, namun Jepun bangkit semula menjadi sebuah negara perindustrian dan teknologi canggih.

Melalui kerjasama dua hala yang dipertingkatkan daripada dasar itu, Malaysia telah berjaya menjadikan sektor perindustrian, khususnya perindustrian pembuatan sebagai salah satu penjana ekonomi negara. Begitu juga dengan kelahiran kereta nasional pertama, Proton Saga pada tahun 1985 yang membuktikan kemampuan Malaysia dalam sektor tersebut. Walaupun pada mulanya, Proton dikatakan hanyalah salinan kosmetik kereta Mitshubishi, namun sekarang Proton tidak lagi bergantung penuh kepada Jepun kerana mempunyai kepakaran tempatan.

Sekiranya “jiwa merdeka” seperti yang diungkapkan oleh Usman Awang itu tidak diterapkan dalam jiwa rakyat negara ini, Malaysia mungkin masih ketinggalan dalam semua bidang atau senasib dengan negara-negara afrika yang masih belum mencapai kemajuan yang membanggakan, walaupun tahun kemerdekaannya tidak jauh daripada tahun kemerdekaan negara ini. Jelaslah bahawa pemikiran beliau tetap relevan dengan persekitaran masa kini.

Perjuangan Membela Golongan Pekerja Bawahan

Perjuangan Usman Awang banyak terarah kepada golongan bawahan seperti buruh, anggota polis berpangkat rendah, masyarakat yang ditindas dan sebagainya. Dan, pihak yang menjadi kecaman kritikannya ialah majikan yang hanya mengutamakan keuntungan dan mengabaikan kebajikan pekerja, golongan kenamaan serta sistem sosial kapitalis itu sendiri. Perjuangan membela golongan bawahan ini masih relevan sehingga kini.

Golongan buruh ialah golongan yang sering mendapat tempat di hatinya. Soal penindasan majikan terhadap golongan buruh; upah dan ganjaran yang tidak setimpal dengan tugas yang dilaksanakan, serta kebajikan sosial mereka yang diabaikan adalah antara perkara yang disentuh melalui karyanya, sama ada prosa mahupun puisi. Secara ringkas, dalam hal ini beliau memperjuangkan hal-hal yang berikut melalui karyanya:

· Kebajikan terhadap buruh perlu diberikan perhatian oleh pihak majikan

· Upah atau ganjaran yang diterima oleh buruh mestilah setimpal

· Hak pekrja untuk bersuaramelalui kesatuan sekerja.

Usman Awang memperlihatkan kesusahan hidup kaum buruh yang sering ditindas oleh majikan secara jelas melalui sajaknya yang bertajuk “Nasib Buruh”:

Melarat di sepanjang jalan hidup

Tidak kira, tubuh perit dipanggang suria

Tidak hirau, dingin hujan menyiram muka

Terus bekerja…terus pula menderita.

Di rumah anak-anak dan isteri muram durja

Apa untuk dimakan segalanya tiada

Pakaian compang camping

Namun…hidup diteruskan juga.

Kaum buruh yang diperjuangkan oleh Usman Awang ini tentulah bukan golongan yang bekerja sendiri, tetapi golongan yang bekerja dengan pihak lain untuk mendapat upah atau disebut sebagai makan gaji. Golongan ini termasuklah buruh yang bekerja dengan agensi kerajaan, pekerja industri dan pekerja ladang. Sekitar tahun-tahun 1950-an dan 1960-an dahulu, kebanyakan buruh ini bekerja di sektor perladangan, khususnya di ladang getah. Ladang ini pula kebanyakannya dipunyai oleh pemodal asing yang besar. Mereka lebih memikirkan soal keuntungan yang besar, berbanding soal kebajikan pekerja yang menjana keuntungan mereka.

Pada tahun tersebut sehingga beberapa dekad, pendapatan golongan ini masih kecil dan ketara. Sesudah hamper 50 tahun negara ini merdeka, apakh nasib mereka sudah terbela? Memang sudah ada perubahan khususnya melalui pelbagai dasar, dan bantuan, khususnya pendidikan yang diberikan oleh kerajaan. Banyak ladang yang dahulunya milik pemodal asing sekarang dimiliki oleh pemodal tempatan. Namun, hakikatnya pendapatan buruh ladang masih kecil sehingga pendapatan purata bulanan mereka berada di bawah aras kemiskinan negara, iaitu di bawah RM450.00. Hal ini masih diperjuangkan kesatuan sekerja berkaitan yang menuntut agar buruh ladang diberikan gaji minimum RM900.00.

Sajak-sajak seperti “Nasib Buruh” dan “Kaum Buruh” jelas memancarkan simpati dan sokongannya terhadap perjuangan kaum buruh untuk menuntut keadilan. Petikan sajak “Kaum Buruh” ini jelas menunjukkan sikapnya terhadap nasib golongan buruh.

Doa tidak bisa menyenangkan

Sedang kasihan hanya kelemahan

Sebab hidup sekarang diukur dari kekuatan.

Melihat tubuh dibaluti kafan,

Melihat tulang-tulang berkaparan

Bersatulah kaum buruh mencipta kekuatan.

Frasa “bersatulah kaum buruh mencipta kekuatan” adalah seruan yang jelas kepada kaum buruh agar memperjuangkan hak mereka secara sekata dan kolektif. Seperti kata pepatah, “bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”, perjuangan kaum buruh ini dapat dilakukan melalui kesatuan sekerja.

Usman Awang juga mengapologikan sebuah sajak yang berjudul “Satu Mei” kepada kaum buruh. Tajuk sajak ini sudah menjelaskan bahawa sajak ini memang ditujukan kepada mereka kerana 1 Mei merupakan sambutan Hari Buruh (kemudian di kenali sebagai Hari Pekerja di Malaysia). Golongan buruh yang diperkatakan oleh Usman Awang dalam sajak ini ialah pekerja kontrak bangunan, pekerja kilang, dan pekerja lombong. Sumbangan kaum buruh dalam pembangunan negara diakuinya walaupun ganjaran yang mereka terima tidak setimpal dengan pengorbanan yang dicurahkan. Lihat petikan sajak “Satu Mei” di bawah:

………………

Merekalah mewarisi pusaka zaman

Seluar sehelai baju bertampal

Tikar buruk di sudut bangsal

Tulang selangka dapat dibilang

Mereka kini menyedari kekuatan diri

Mengubah wajah sebuah negeri

Menukar nama seorang menteri

Di matanya api di tangannya besi

Sebelum itu, Usman Awang telah menghasilkan sebuah sajak yang bertajuk “Buruh” yang ditujukan kepada buruh yang sedang berjuang.

Buruh

…………………..

Barisan yang sudah kebal dengan dugaan,

Dengan kekuatan waja tidak terlumpuhkan

Berpadu dalam satu barisan gagah

Kaum buruh yang insaf sederap mara ke depan

Sekali bergerak berontak melepas cekik

Untuk keadilan dari tulang dan penuh bertitik;

Demikian mereka penuh semangat sedang berjuang

Dan kita penuh hormat memberikan sanjungan.

1955

Mengapakah Usman Awang ketara memperjuangkan golongan buruh? Hal ini tidak lain dan tidak bukan adalah kerana jiwa senimannya yang sensitif dan bersimpati terhadap golongan yang tertindas. Ini bersesuaian dengan anutan perjuangan “Seni untuk Masyarakat” melalui ASAS 50 yang dianggotainya. Malah sebagai pekerja, Usman Awang pernah terlibat dengan peristiwa pemogokan terhadap majikannya iaitu Utusan Melayu semasa bertugas sebagai wartawan pada tahun 1961.

Pemogokan ini jugalah yang mencetuskan penciptaan cerpen “Sebuah Khemah Didirikan” pada tahun 1962 sebagai kritik sosialnya kepada majikan yang menindas buruh dan sebagai sokongannya terhadap kaum buruh untuk memperjuangkan kebajikan mereka. Dalam cerpen tersebut, mogok diadakan kerana pihak majikan tidak melayan tuntutan pekerja. Bukan setakat itu, majikan juga mengambil tindakan kuku besi dengan membuang pekerja yang terlibat dengan mogok.

Kini, masihkah berlaku pemogokan seperti itu? Suasana telah berubah, jika dahulu pihak pekerja tidak mempunyai tempat untuk mengadu, kini mereka mendapat hak yag lebih baik untuk bersuara. Malah sebarang pertikaian antara pekerja dengan majikan juga boleh diselesaikan melalui undang-undang. Hak pekerja juga dijamin oleh peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan. Namun, tindakan majikan yang dianggap menindas seperti yang pernah berlaku pada dekad-dekad awal dahulu masih lagi berlaku walaupun pada kadar yang rendah. Dan, penindasan ini lebih kerap dilakukan oleh pihak majikan terhadap pekerja bawahan. Antara tindakan yang sering dilaporkan, termasuklah melalui media massa antaranya ialah:

(i) Majikan lebih mengutamakan pekerja asing untuk mengoptimumkan keuntungan dan membuang pekerja-pekerja tempatan sedia ada.

(ii) Majikan tidak membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Kadang-kadang berlaku kecurangan apabila majikan memotong gaji pekerja tanpa pengetahuan mereka.

(iii) Kadar upah yang terlalu kecil dan tidak kompetitif.

(iv) Pembuangan kerja atas alas an yang terlalu kecil, tanpa pampas an

(v) Majikan lebih mengutamakan kaum-kaum tertentu untuk mengisi posisi kerja yang tinggi, walaupun daya saing atau prestasi pekerja kaum lain lebih baik.

(vi) Dipaksa bekerja pada hari cuti umum

(vii) Ganjaran upah lebih masa tidak dibayar mengikut kadar yang sepatutnya.

(viii) Tiada kemudahan perubatan untuk pekerja.

(ix) Pekerja beragama Islam tidak dibenarkan bersolat.

(x) Pekerja beragama Islam tidak dibenarkan menutup aurat

Berdasarkan “keluhan-keluhan” di atas, jelaslah bahawa pada masa kini, masih terdapat kecenderungan untuk menindas pekerja walaupun cara penindasan mereka sudah tidak hanya berkisar soal gaji seperti yang lebih diperjuangkan oleh golongan buruh pada dekad 50-an dan 60-an, dalam karya-karya Usman Awang. Justeru, perjuangan Usman Awang untuk peningkatkan taraf hidup buruh pekerja yang berpendapatan rendah tetap relevan pada masa kini masih terdapat penindasan kelompok ini oleh pihak majikan.

Golongan pekerja bawahan lain yang turut mendapat perhatian Usman Awang ialah anggota polis. Lewat karya cerpennya, “Kopral Tua” dan “Surat Dari Seorang Mata-mata”, Usman Awang dilihat memperjuangkan kebajikan golongan anggota polis berpangkat rendah. Dalam kedua-dua cerpen ini, terdapat watak yang memperkatakan tentang gaji anggota polis berpangkat rendah yang kecil.

Dalam cerpen “Surat dari Seorang Mata-mata” yang tersiar pada 22 Oktober 1950 di Utusan Zaman, ada diperkatakan tentang keluhan anggota polis yang mendapat gaji yang rendah. Gaji yang diperolehi tidak mencukupi, hingga kadangkala mereka terpaksa pula berhutang untuk memenuhi keperluan.

Suatu hari Wak Dol membawa sebuah akhbar yang menyiarkan

penyata berkenaan gaji-gaji pegawai kerajaan.

“Gaji kita polis tidak juga berubah”, katanya kepadaku.

Cuma pegawai-pegawai tinggi dan orang yang telah hidup mewah sahaja yang berubah.”

Pada tahun 1962, iaitu 12 tahun kemudian, Usman Awang sekali lagi memperkatakan perkara yang sama melalui cerpennya yang bertajuk “Kopral Tua”. Dalam cerpen tersebut, Busu merupakan seorang sarjan polis mengeluh kepada rakannya, Mat dengan memperkatakan bahawa gajinya tidak mencukupi untuk menampung kehidupannya yang berkeluarga. Dengan gaji berjumlah RM170.00 pada masa itu, Sarjan Busu perlu menampung kehidupan isteri dan lima orang anak, termasuk empat orang yang masih bersekolah.

Dalam tempoh 12 tahun, ternyata gaji anggota polei yang berpangkat rendah bolehlah dianggap rendah dan tidak setimpal dengan peranan mereka. Usman Awang mempunyai asas untuk membangkitkan persoalan ini kerana beliau pernah bertugas sebagai anggota polis antara tahun 1946 – 1951. Beliau juga mengetahui tentang hal ehwal semasa kerana bertugas sebagai wartawan mulai 1951 hingga 1962.

Jika pada tahun 1961, gaji seorang koperal ialah RM170.00, 44 tahun kemudian, iaitu pada tahun 2006, gaji seorang koperal termasuk elaun hanya memcecah RM1000.00. gaji yang diterima oleh anggota polis sekarang, berbanding 40 atau 50 tahun dahulu sememangnya lebih baik. Namun, gaji itu tidak pula dianggap lumayan, apatah lagi dengan kenaikan indeks kepenggunaan serta kenaikan barangan keperluan seperti minyak, told an sebagaimnya. Hal ini menyebabkan Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara yang baru dilantik peda bulan September 2006 yang lalu memperjuangkan kenaikan gaji dan imbuhan bagi anggota polis berpangkat rendah khususnya, dan seluruh anggota polis, amnya. Anggota polis yang berpangkat rendah ini bermula dari konstabel hingga ke sub-inspektor manakala anggota polis berpangkat tinggi bermula dari Inspektor hingga kepada pegawai. Sudah tentu permintaan ini ada asasnya kerana sebagai seorang Ketua Polis Negara, beliau lebih arif mengenainya.

Kenaikan gaji ini bukan sahaja bertujuan untuk memenuhi keperluan golongan tersebut, tetapi juga untuk mengelakkan anggota polis daripada terjebak dengan gejala rasuah. Disamping itu, kenaikan gaji ini dilihat dapat menarik golongan muda untuk menyertai pasukan polis, khususnya daripada golongan bukan bumiputera yang menjadikan alas an gaji sebagai satu factor penolak untuk tidak menyertai pasukan keselamatan. Jelaslah bahawa perjuangan Usman Awang terhadpa golongan tersebut masih lagi relevan dengan tuntutan semasa.

Perjuangan dalam Memartabatkan Bahasa

Selain memperjuangkan nasib golongan bawahan, Usman Awang juga turut memperjuangkan usaha-usaha pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa komunikasi. Sebagai indentiti dan jati diri bangsa yang merdeka, perjuangan memartabatkan bahasa Melayu adalah perjuangan yang perlu disahut semua orang, termasuklah sasterawan sepertinya. Perhatikan sajak yang berikut:

Bahasa Bonda

Tersusun indah menjadi madah

Jauh mengimbau menjangkau pulau

Ayuh beralun lembut membuai

Jauh meresap mendakap damai

Ada ketika marak menyala

Memercik api semangat bangsa

Meletus gemuruh menyadap segala

Menjadi alat perjuangan merdeka

Seribu tingkah membawa lagu

Mainan gadis diusik rindu

Senjata teruna menawan cinta

Pusaka rakyat pendukung bicara

Seribu bahasa kita bicara

Manakan sama bahasa bonda?

Sajak diatas yang bertajuk “Bahasa Bonda” selain sajak “Keranda 152” merupakan antara sajak penting yang dihasilkan oleh Usman Awang dalam memperjuangkan bahasa Melayu. Dalam sajak di atas, telah terangkum segala peranan bahasa Melayu; wadah komunikasi, wadah perjuangan kemerdekaan wadah cinta dan sebagainya. Perjuangan bahasa yang dimaksudkan di sini ialah perjuangan untuk memertabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Walaupun Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 telah menegaskan bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, namun dari segi perlaksanaannya, masih banyak perkara yang perlu diperbaiki.

Usman Awang sedar Persekutuan Tanah Melayu (kemudian Malaysia) yang baharu menjadaikan bahasa Melayu sebagai identity dan asas perpaduan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Pada dekad-dekad awal kemerdekaan tanah air, peranan bahasa Melayu belum begitu bermartabat, walaupun ia telah diperuntukkan dalam Perlambagaan Persekutuan. Dalam urusan perundangan dan ekonomi, bahasa Inggeris masih lagi dominan. Kebangkitan dan kesedaran terhadap martabat bahasa Melayu diluahkannya dalam sajak “Mereka Telah Bangkit”.

Mereka Telah Bangkit

……………………….

Mereka sekarang telah bangkit

Di tengah-tengah gelombang zaman

Dari keperibadian yang telah ditindas

Untuk masa depan warisan keturunan

Dari BAHASA lidah zaman hidup kita

Kebangkitan ini pancang detik batu-tanda

Untuk pelaksanaan SATU BAHASA

Yang berdaulat menyinar mutiara.

Begitu juga nada tegas Usman Awang melalui sajaknya yang bertajuk “Malan di Balai Budaya” yang dicipta pada tahun 1967

Malam di Balai Budaya

MALAM itu di Balai Budaya

Api dan air mata

MALAM itu di Balai Budyaa

Seorang guru tua berbicara

Berarak ke parlimen, aku di muka

MALAM itu di Balai Budaya

Seorang pemuda berteriak

‘Ayuh mari kita berarak’

MALAM itu di Balai Budaya

Para pelajar berikrar

‘Dada kami sedia dibakar’

Malam itu juga

Perlimen jadi pertanda

Memenggal leher BAHASA

Keranda 152

ANAK Melayu

Panas dadamu membakar baju

Kita arak keranda 152

Ke tanah perkuburannya parlimen

Sepuluh tahun nafas ini terhenti

Hari ini jangan lagi menyanyi

Sebentar lagi malam akan tiba

Tiap pintu dan jendela sudah dijaga

Baying-bayang tidak bisa lewat jalan raya

Anak Melayu

Namamu telah diseur

Jawablah sebelum lidah menjadi bisu

Persoalannya, sesudah 49 tahun Negara Malaysia merdeka, masih relevankah perjuangan Usman Awang dalam memartabatkan bahasa Melayu? Jawapannya tetap ya. Hal ini demikian kerana era globalisasi dengan dunia tanpa sempadan yang melanda dunia masa kini sedikit sebanyak telah menghakis peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Yang termaktub dalam Perlembagaan sememangnya tidak berubah. Namun sikap sesetengah pihak berkepentingan yang meremehkan peranan dan kepentingan bahasa Melayu dalampelbagai bidang di Negara ini ternyata telah melemahkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan bahasa rasmi. Kini, bahasa Melayu tidak lagi dijadikan sebagai wadah dalam pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah apabila digantikan dengan penggunaan bahasa Inggeris. Hal ini berterusan dalam pengajaran sains di peringkat pengajian tinggi yang menggunakan bahasa Inggeris dan meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu wajib dipertahankan kerana ia adalah teras perpaduan rakyat Malaysia pelbagai kaum. Bahasa Melayu juga adalah identity Negara Malaysia yang berdaulat dan jati diri rakyat Malaysia yang cinta akan Negara. Malah bahasa Melayu juga diterima sebagai salah satu asas dalam pembentukan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang digubal pada tahun 1971.

Perjuangan memertabatkan bahasa Melayu bukan milik ahli bahasa, budayawan dan sasterawan semata-mata. Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu juga bukan hanya diletakkan terhadap bangsa Melayu. Hakikatnya, perjuangan memertabatkan bahasa Melayu adalah milik bersama insane yang mengakui dirinya sebagai warganegara Malaysia. Oleh sebab itu, perjuangan Usman Awang dalam memartabatkan bahasa Melayu tetap relevan sehingga kini.

Kesimpulan

Iltizam dan idealism Usman Awang terhadap perjuangan menuntut keadilan social terserlah dalam kebanyakan keryanya. Usman Awang ternyata tidak berkarya semata-mata kerana seni. Sebaliknya, seni yang dihasilkannya adalah untuk kemaslahatan hidup masyarakat, sesuai dengan perjuangan ASAS 50, iaitu “Seni untuk Masyarakat” yang diperjuangkannya. Melalui penggunaan bahasanya yang indah, terpancar citra pemikirannya yang membawa seribu makna yang cukup yang bererti untuk dihayati dan direnungi.

Walaupun perjuangannya membela golongan bawahan ini agak sinonim dengan perjuangan politik fahaman sosialis, ini bukanlah bererti Usman Awang seorang penganut sosialisme. Dan protes, kritikan serta tegurannya kepada sang pemerintah pula bukan bererti beliau berada pada paksi pembangkang. Sebaliknya, perjuangannya adalah kerana beliau seorang yang memiliki nilai kemanusiaan yang tinggi, sehingga sanggup menentang arus untuk memperjuangkannya.

Biarpun Usman Awang telah pergi, namun karya-karya “bintang yang mengerdip” ini terus hidup dan bersuara. Perjuangan sosialnya melalui karya tetap relevan kerana ap-apa yang diperjuangkannya pada masa dahulu, masih lagi menuntut kesempurnaan untuk ditunaikan.

Rujukan

Pusat Dokumentasi Melayu, Bibliografi Usman Awang, 1998. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Dinsman dan Sutung Umar Rs., 1983. Sikap dan Pemikiran Usman Awang. Petaling Jaya : Penerbit Fajar Bakti.

Rozninah Azib, “Usman Awang dan Kuala Sedili” dalam Dewan Sastera, Februari 2002.

Usman Awang, 1981,. Degup Jantung. Kuala Lumpur : Pustaka Melayu Baru.

Usman Awang, 1991. Gelombang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Usman Awang, 1991. Puisi-puisi Pilihan Usman Awang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Thursday, July 10, 2008

Memahami Pemikiran SN Usman Awang

DOGMATISME MISKIN – KAYA DALAM
KEPENGARANGAN USMAN AWANG - Saifullizam Yahaya


Pendahuluan

Dogmatisme ialah kefahaman berdasarkan dogma, iaitu kepercayaan atau system kepercayaan yang dianggap benar dan seharusnya dapat diterima oleh orang ramai tanpa sebarang pertikaian.

Apakah pengaruh yang menyebabkan lahirnya seorang pengarang dengan dogmatismenya? Untuk mencari jawapannya secara umum ia boleh dilihat daripada empat factor seperti perubahan sosiopolotik, sosiobudaya, sosioekonomi dan agama. Faktor-faktor ini seterusnya membentuk perkembangan setiap individu itu sama ada adlam diri, keluarga dan masyarakatnya. Faktor tersebut pula akan berbaur dalam sistem hidup individu pengarang. Bermula daripada ibu bapa atau pengasuh, unsure sosiobudaya sesuatu keluarga dan masyarakat mula diserap tanpa disedari seperti budi bahasa dan pantang larang sama ada bersifat warisan atau semasa.
Dalam sosiopolitik pula, dasar-dasar kerajaan yang memerintah juga memeinkan peranan yang penting dalam membentuk jiwa seorang pengarang. Impak dasar tersebut memang tidak dapat dirasai tetapi sebenarnya ia telah bermula daripada seseorang itu dalam kandungan ibu lagi.
Hakikat faktor ini juga turut mempengaruhi sosiobudaya dan sosioekonomi pengarang dan ia terus berkembang bertahap-tahap dalam hidup mereka. Setiap perubahan sosio itu pula akan member perspektif baru untuk mereka membuat, menilai, dan menghujah setiap apa yang berlaku. Setiap pengarang yang lahir akan memalui semua proses social ini tanpa sedar dan ia berlaku secara semula jadi hingga menyebabkan seseorang pengarang itu akan membentuk atmosfera tanggapan pada lingkungan hidup yand dilandasinya. Tanggapan tersebut akan membentuk acuan dogmatism yang akan mempengaruhi pandangan hidup seseorang pangarang. Hal ini secara tidak sedar menjadi tema dalam setiap penulisannya.
Untuk melihat fenomena pengaruh kepada seseorang pengarang, kita akan melihat perkembangan awal kepengarangan Usman Awang. Hakikat ini bukan untuk mencari kebenaran tetapi untuk melihat sejauh mana pengalaman awal seseorang pengarang itu akan mempengaruhi tema penulisan walaupun dari segi teknikal, seseorang manusia itu akan terus berkembang sama ada sari segi pemikiran atau pun kehidupannya.
Usman Awang ialah seorang tokoh dalam kesusasteraan Melayu moden dalam sejarah perkembangan kesusasteraan Malaysia. Beliau yang telah menerima banyak pengiktirafan dalam pelbagai peringkat seperti Hadiah Pejuang Sastera (1976), S.E.A Write Award (1982), Anugerah Sastera Negara (1983), Anugerah Zamalah Sastera, (1985), Seniman agung (1999) dan Tokoh Ikatan Persuratan Melayu (2001) membuktikan bahawa kepengarangannya dihargai oleh pelbagai peringkat dan institusi.
Usman Awang telah menulis dalam semua genre kesusasteraan, namun genre puisi dan drama menjadi landas penanya yang mentap. Untuk memfokuskan tulisan ini, kumpulan puisi Puisi-Puisi Pilihan Sasteraan Negara Usman Awang (1991) dipilih untuk melihat sejauh mana persoalan persekitaran kehidupan awalnya; saman kenak-kanak dan remajanya membentuk dogmanya terhadap kehidupan ini sehingga menjadi pegangan dalam penulisannya.
Biografi Usman Awang: Zaman Awal yang ditulis oleh Muhammad Haji Salleh yang tersiar di majalah Dewan Sastera Januari 2000 dengan tajuk “Tumbuh dengan Asin Laut Johor” (2000:93-97) dan “Riwayat Hidup” dalam buku Biografi Sasterawan Negara Usman Awang yang ditulis oleh Zurinah Hassan (1990:1-11) serta biografi ringkas Usman Awang dalam buku Wajah Biografi Penulis: Edisi Kedua (1988:621-28) digunakan sebagai rujukan.


Kais Pagi Makan Pagi Kais Petang Makan Petang

Usman Awang yang dikenali sebagai seorang pengarang yang waja dengan perjuangan kemanusiaan dan sangat sensitive kepada nasib mesyarakat bawahan sebenarnya merupakan bayangan kehidupan beliau dan keluarganya. Usman Awang yang dilahirkan pada 12 Julai 1929 daripada keluarga nelayan di Kampung tanjung Lembu, Kuala Sedeli, Kota Tinggi, Johor melihat bagaimana masyarakat sekililing menderita akibat kemiskinan ibarat kais pagi makan pagi kais petang makan petang.
Maka tidak hairan mengapa Usman Awang mengangkat persoalan kemiskinan sebagai salah satu pokok pemikiran dalam penulisannya. Puisi-puisi seperti “Selembar Kamus Kemiskinan” (1991:4) sebenarnya menggambarkan diri dan keluarganya serta masyarakat Kuala Sedili dan Mersing walaupun dalam catatan pada puisi itu beliau menulis “diangkat daripada sebuah ucapan”.
Dalam puisi “Kuala Sedili” (1991:185), kita diberi gambaran tentang suasana Kuala Sedili dan Kehidupan masyarakat nelayannya yang rata-ratanya hidup dalam kemiskinan dan penderitaan yang hauskan pembangunan seperti yang dilukiskan pada rangkap-rangkap akhir yang berikut:


hanya wajah-wajah tua ketika musim tengkujuh.
serupa daun-daun berguguran seluruh jadi rapuh.
pintu maut sedang terbuka dari perut laut gemuruh

O tanah kelahiran, betapa kau mimpikan elektrik.
Sinar menyinar gemilang yang menghidupkan pekat malam,
Sebab kau bumi nelayan yang berhak menerima kesuraman.

Mana rumah sakit dan ubat untuk kita
Anak-anak nelayan tak bisa mengenalnya, ah bukan kota:
Segala jadi biasa dan pendusta berulang bicara.

Alangkah megahnya pemimpin dari kota berkata-kata,
Yang sekali dating ketika masa empat tahun berulang;
Ah, Kuala Sedili, gadis desa mentah-mentah diperkosa!

Kehidupan keluarganya-ayahnya, Wan Awang Kecik ialah seorang nelayan pinggir laut yang hidup bersama ibunya, Halimah Abdul Rahman. Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan tiga orang anak lelaki, iaitu Wan Ahmad (lahir 1925), Wan Osman (lahir 1929) dan Wan Ismail (lahir 1931).
Usman Awang yang merupakan anak kedua, rupa-rupanya telah dipakaikan dengan pakaian perempuan kerana ibunya inginkan seorang anak perempuan. Beliau juga dikatakan sangat rapat dengan ibunya. Factor inilah yang telah membentuk jiwa lembut Usman Awang sehingga melahirkannya sabagai seorang yang berperibadi lemah lembut, bersopan apabila berbicara, baik tutur bahasanya dan sentiasa bersedia untuk berkongsi mendengar masalah dan pandangan teman-tamannya. Ciri-ciri kelembutan ini juga dituangkan dalam gaya penulisannya hingga para sarjana menerakan Usman Awang sebagai pengarang romantis.
Pada tahun 1936, Usman dan keluarganya berhijrah dari Kuala Sedili ke Mersing. Perpindahan ini terpaksa dilakukan dengan harapan keluarganyanya bebas daripada belenggu kemiskinan serta mencari kehidupan yang lebih baik. Pada waktu itu, Kuala Sedili dikatakan sering dilanda tengkujuh yang menyebabkan kehidupan para nelayan tidak menentu. Di Mersing mereka menumpang di rumah ibu saudaranya, yakni suami bekerja sebagai pegawai kerajaan merupakan antara kelas mewah di Mersing. Di rumah ibu saudaranyalah keluarga Wan Awang menumpang sementara sebelum ayahnya membina sebuah pondok kecil di belakang rumah ibu saudaranya itu.
Jika kita lihat puisi “Selembar Kamus Kemiskinan”, Usman Awang ada mencatatkan:

Kemiskinan bererti
Kelaparan

Pondok Usang bererti
Kemiskinan

Kemiskinan bererti
Hidup Menumpang.

Di rumah ibu saudaranya ini, Wan Awang menolong kerja-kerja di rumah kakak iparnya sementara Halimah turut membuat kerja-kerja dapur kakaknya.
Seterusnya hasrat keluarga Wan Awang untuk menimang cahaya mata perempuan dimakbulkan apabila dikurniakan Wan Fatimah (lahir 1937) namun Wan Fatimah hanya dipinjamkan oleh-Nya beberapa bulan sahaja. Kematian Wan Fatimah menyebabkan ibu Usman Awang berada dalam keadaan murung dan ibunya terbaring sakit yang menyebabkan kematiannya.
Peristiwa ini seakan tidak terlepas daripada ingatan Usman Awang apabila dalam puisi yang sama di atas, beliau mencatatkan:


Penyakitan bererti
Kemiskinan

Kemiskinan bererti
Kekurangan Perubatan,

Kematian Ibu ketika
Melahirkan
Bererti Kemiskinan,

Kemiskinan Bererti
Usia Tidak Panjang,


Inilah dogma awal yang menumbuhkan kepercayaan Usman Awang dalam kehidpuannya. Selain itu, perasaannya ketika menumpang di rumah ibu saudaranya itu juga menyebabkan Usman Awang seakan-akan “memprotes” terhadap perbesaan antara jurang keya dengan miskin walaupun mereka sebenarnya bersaudara.
Oleh itu, perkara ini menjadi persoalan dalam setiap karya penulisan beliau. Hal ini dapat dilihat antaranya dalam puisi “Beli Buatan Malaysia” yang mempersoalkan tentang seruan kerajaan (golongan atasan) kepada rakyat jelata (golongan bawahan) tentang kempen membeli barangan buatan Malaysia. Rakyat diseur membeli barangan buatan Negara sendiri tetapi Usman Awang tidak percaya adakan seruan itu juga menjadi amalan orang yang melaung-laungkan slogan tersebut?


Ketam Mengajar Anaknya Berjalan Betul

Melalui puisi “Pak Utih” (1991:173), beliau menyindir golongan berkuasa yang berkempen tentang kemakmuran rakyat jelata seperti Pak Utih tetapi sebaliknya yang berlaku apabila mereka menang dalam pilihan raya. Perhatikan puisi dibawah:


Di kota pemimpin berteriak-teriak,
Pilihan raya dan kemerdekaan rakyat
Seribu kemakmuran dalam negara berdaulat,
Jambatan mas kemakmuran sampai ke akhirat.


Pak Utih masih menanti dengan doa,
Bapak-bapak pergi ke mana di mobil besar?

Dalam puisi “Pak Utih” (1991:48-51), yang padat dengan sinisisme, Usman Awang juga menggambarkan perasaan tidak puas hati terhadap golongan atasan yang telah berkuasa yang kemudiannya meneriak-neriakkan pula slogan kepada orang bawahan terutama orang kampong yang tidak mengerti tentang hal ehwal ekonomi seperti yang cuba yang disindir oleh Usman kepada pemimpin yang meneriak-neriakkan tentang I-N-F-L-A-S-I.
Perasaan protesnya terhadap golongan atasan terutama yang mempunyai kuasa terus menjadi sasaran beliau seperti dalam puisi “Surat dari Masyarakat Burung kepada Datuk Bandar” (1991:37). Dalam puisi ini sacara satira, Usman Awang menyindir golongan berkuasa yang menyeru tentang MENGHIJAUKAN SELURUH WILAYAH tetapi mereka sendiri yang meluluskan projek-projek pembangunan yang secara tidak secara langsung memusnahkan alam sekitar. Semua ini demi mengejar kekeyaan peribadi seperti dalam ungkapan puisi yang di bawah:


Tapi manusia kota ini telah membunuh KEHIJAUAN alam
Semata-mata untuk mengejar KEHIJAUAN ringgit.


Begitu juga dalam puisi beliau yang penuh sinis yang diambil daripada ungkapan Melayu lama, iaitu mengajar anaknya berjalan betul yang bererti orang yang menasihati orang lain tetapi dia sendiri tidak melakukan seperti yang dinasihatinya. Melalui ungkapan ini, Usman Awang telah memilih sudut pendangan sang ketam untuk melihat telatah manusia yang sering menegur, membuat peraturan dan melaung-laungkannya, tetapi bertindak sebaliknya.
Dalam puisi antithesis “Benarkah Ketam Mengajar Anaknya Berjalan Betul?” (1991:35-36) beliau mengkritik secara halus tetapi pedas terhadap golongan mereka yang berkuasa membentuk peraturan kehidupan (undang-undang) tetapi mereka sendiri tidak mengikutinya seperti dalam diksi puisi tersebut “… manusia tidak oernah berjalan betul…”
Perasaan Usman Awang terhadap golongan berada terus menjadi seperti dalam puisi “Bagaimana Kalau…” (1991:33) yang antara lain mempersoalkan tentang:


Bagaimana kalau semua fail dan rekod
di pejabat Cukai Pendapatan tiba-tiba padam
semua angka pendapatan,
kecuali fail para tauke besar dan
fail para menteri dan M.P yang
banyak perusahaan dan perdagangan
yang namanya disamarkan?


Puisi di atas yang ditulis dengan apologi kepada Taufik Ismail dan Dinsman, iaitu dua orang penyair yang juga menjadikan kepincangan kuasa sebagai persoalan dalam puisi-puisi mereka.
Manakala dalam puisi “Pantun Moden” (1991:39), yang penuh innuendo, Usman Awang dengan keras tetapi berjenaka meluahkan perasaan ketidakpuasan hatinya kepada golongan berada dengan pantun seperti yang berikut:

Malam mengemping antan berbunyi,
Kukur kelapa bertih di kuali;
Orang miskin bertanam padi,
Orang kaya dating mencuri.

Makan emping bergurau senda,
Makan bersantan gula kelapa;
Orang miskin teruk bekerja,
Orang kaya duduklah saja.

Sikap individualistik dan angkuh golongan atasan, berkuasa dan berada ini, selain daripada perbezaan kedudukan antara keluarga ibu saudaranya dengan keluarganya menyebabkan Usman Awang begitu lantang memprotes golongan ini. Sementelah pula, sosiopolitik orang tengah yang selalu bersikap bak lintah darah kepada para nelayan yang juga dialami oleh ayahnya, sewaktu menjadi nelayan di Kuala Sedili.
Hal ini dilukiskan secara antifrasis dalam puisi “Nelayan” (1991:184) yang antara lain mengungkapkan tentang kesusahan para nelayan seperti yang berikut:


Walau tegas jasad melandai segera,
Dalam biduk kecil selebar upih,
Namun derita tak kunjung reda,
Dalam desakan hidup merintih.


Namun demikian protes beliau kepada ketidakadilan status miskin-kaya tidak terasa terlalu kaser kerana Usman Awang mendapat belaian kasih sayang ibunya, Halimah walaupun sementara tetapi cirri-ciri keibuan ibunya meresap dan membentuk sikap beliau dalam kepengarangan.
Selain iut, bancuhan pengalaman dengan kelembutan, kadang-kadang kekerasan membentuk jiwa beliau untuk menggunakan unsure-unsur tersebut dalam puisi beliau. Ini dapat dilihat dalam puisi “Salji Hitam” (1991:69).
Melalui puisi ini beliau mengkritik dasar Amerika terhadap orang kulit hitam, namun masih terasa nada kelembutan apabila beliau menggunakan diksi “Mengusapi luka-luka sejarah nenek moyang”. Perkataan “mengusapi” ini terasa pedih menghiris.
Puisi “Salji Hitam” diikuti dengan puisi “Suara Blues” (1991:60) yang juga mengkritik dasar aparteid. Kelembutan nada puisi ini terasa walaupun persoalannya melepasi batasan budaya kita?
Namun begitu, Usman Awang masih tidak melepaskan kritikan terhadap perbezaan jurang miskin-kaya kerana warna hitam dan putih itu juga sebenarnya menjadi lambing terhadap jurang miskin-kaya di bumibya sendiri? Rangkap berikut dapat dilihat tentang kemiskinan yang diertikan sebagai kelaparan:

Kerana hitam
Hanya kerana hitamnya
Tiada tangan mencampakkan kacang
Tiada jari menaburkan jagung
Lapar, lapar yang hitam.


Unsur-unsur alam menjadi benih subur di jiwa Usman Awang. Hakikat ini diakui sendiri oleh beliau dalam puisi “Ucapan” (1991:8) sempena menerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan di Universiti Malaya pada tahun 1983 yang membawa gelaran (Dr.). Dalam ucapan tersebut, beliau menyatakan:

Sumber ilmu saya ialah pengalaman di tengah
alam manusia seluas lautan dengan deru ombak
alun gelombang badai taufan

Dengan meminjam telatah ala mini, Usman Awang membentuk jiwa kepengarangannya bahawa dalam kekerasan ada kelembutan dan kedamaian.
Episode perjalanan Usman Awang, terus membentuk dogma kepada kehidupan setelah kematian ibunya. Ketiadaan seorang ibu menyebabkan ayahnya harus memikul tanggungjawab sebagai ibu dan mereka tiga beradik mula belajar berdikari. Detik-detik inilah menyebabkan nada-nada dalam setiap puisi beliau terasa sayu walaupun puisi tersebut memprotes sesuatu isu seperti dalam diksi berikut yang dipetik daripada puisi “Satu Mei” (1991:68):


Merekalah menggali perut bumi yang sakit
Lumpur dan pasir memenuhi tiap rongga
Tanah lombong yang selalu mengucapkan simpati
Menimbusi membungkus tubuh para pekerja
Melindunginya dari pemerasan kejam
- Upah yang diterimanya sekadar beras segenggam.


Dalam puisi “Satu Mei” ini, walaupun Usman Awang mengkritik penindasan golongan buruh atau pekerja tetapi nada kesayuan masih terasa kerana inilah cara beliau mengkritik sesuatu isu. Beliau memilih dengan melihat dari kaca mata orang bawahan kerana orang bawah itulah bayangan dirinya.


Anak Ayam Kehilangan Ibu

Episod kehidupan Usman Awang terus-terusan tercabar apabila ibu saudara yang menjadi tempat pergantungan mereka berpindah ke Muar. Kemudian kerana kemiskinan, abangnya Wan Ahmad pula keluar dari Mersing dan mereka tidak mendengar beritanya lagi.
Usman Awang yang waktu itu berumur sembilan tahun bersama-sama adiknya Wan Ismail dan ayahnya meneruskan kehidupan di Mersing dalam serba kemiskinan. Kisah kemiskinan keluarganya itu digambarkan oleh Usman Awang dalam Puisinya “Kisah dalam Ribut” (1991:169) seperti dalam dua rangkap yang berikut:


Sesekali kilat menyambar ngeri,
Pondok using dimandi hujan dinihari,
Adik-adik menangis menggigil menghampiri,
Manakah ayah yang tak pulang sampai kini?

(Ibu tercinta telah meninggal dusia,
Ayah miskin jauh pergi membuat huma)


Melalui puisi diatas kita dapat menggambarkan suasana kemiskinan yang pernah dialami oleh Usman Awang. Pengalaman merasai derita kemiskinan dan melihat kuasa kekeyaan yang baginya merupakan kuasa penindas terhadap golongan bawahan membentuk dogmatism kepada ketidakadilan social.


Kesimpulan

Dogma ketidakadilan dalam masyarakat akibat ketidakjujuran dan ketamakan bangsanya dan dunia terhadap orang miskin-kaya menjadi gangguan dalam kepengarangan Usman Awang. Gangguan ini menyebabkan Usman Awang mengadaptasi miskin-kaya kepada kuat-lemah. Kuat bagi beliau adalah terhadap mereka yang berkuasa dan lemah pula ialah mereka yang tertindas. Kepercayaannya terhadap mereka yang berkuasa yang akan menindas rakyat menjadikan Usman Awang seorang yang dogmatic, iaitu berkeras memperjuangkan pandangan peribadinya tanpa menghiraukan bukti yang ada dan mempertimbangkan pandangan lain yang mungkin benar kepada mereka yang lemah.
Namun begitu, nilai kasih sayang yang sempat ditanam oleh ibunya dan dipinjam daripada sikap ibunya menjadi rel kepada perjuangan Usman Awang dalam menegakkan hak kemanusiaan sejagat. Walau bagaimanapun Usman Awang sedar bahawa kemiskinan yang dialami oleh ayah dan masyarakatnya tidak dirasai oleh mereka senasib kerana telah akrab dengan kehidupan seperti yang dipuisikan Usman Awang dalam puisi “Mata Ayah” (1991:09) yang berikut:


Kelibat senyum matanya masih jua ramah
Akan menutup padaku kelesuan hidup sendiri
Bagai dalam suratnya dengan kata-kata riang
Memintaku pulang menikmati beras baru.

Anak yang pulang di sisi ayahnya maka akulah
Merasakan kepedihan yang tercermin di mata
Meski kain pelekatnya bersih dalam kesegaran wuduk
Dan ia tidak pernah merasa, sebab derita itu adalah dia.

Perasaan kemiskinan dan deritanya telah sebati dalam kalangan orang bawahan kerana bagi mereka semua itu takdir daripada Allah. Inilah juga kepercayaan yang menjadi dogma kepada masyarakat Melayu.
Akan tetapi bagi Usman Awang, dia masih percaya bahawa kemiskinan wujud kerana system yang dikuasai oleh orang yang berkuasa. Ini bererti bukanlah Usman Awang menolak takdir tetapi disedari bahawa untuk keluar daripada kejumudan kemiskinangolongan bawahan haruslah “Membunuh Mimpi” (1991:5) seperti yang diungkapkan dalam puisinya:

Bunuhlah mimpi itu, anakku
Kau membunuh segala palsu
Lagu dan rindu

Yang selalu menipumu
Dapatkan keberanian hidup baru
Dari kekuatan hati dan ketinggian ilmu.

Jika dalam puisi “Mata Ayah”, Usman Awang mengangkat ayahnya sebagai wakil masyarakat miskim dan tertindas, tetapi dalam puisi “Membunuh Mimpi” Usman Awang menyampaikan pesan kepada anaknya sebagai wakil masyarakat kini dan depan untuk keluar daripada belenggu kemiskinan dan penindasan.
Atas kesedaran dengan kekuatan hati dan kepentingan ilmu sahaja, Usman Awang yakin bahawa masyarakat dapat keluar daripada kepompong kemiskinan dan penindasan.
Perjuangan Usman Awang dalam membela mereka yang tertindas itu melalui tinta tidak pernah dapat memperdayakan dogmatismenya walaupun mendapat “imbuhan” dan diiktiraf oleh pemerintah. Beliau tetap menjadi pembela kepada ketidakadilan social melalui pena kemanusiaannya dalam perjalanan seninya sehingga ke akhirnya pada 29 November 2001 dalam usia 72 tahun.


Rujukan

Dewan Bahasa dan Pustaka, 1998. Bibliografi Usman Awang: dari Selat Melaka ke Salam Benua. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dewan Bahasa dan Pustaka, 2004. Buku Cenderamata Majlis Mengenang Usman Awang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Dewan, 2000. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus Puisi, 2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Ku Seman Ku Hussain. “Usman Awang. Dunianya Pena dan Tinta” dlm. Massa, Bil. 321, hlm. 20-22, 8-14 Disember 2001.
Mohd Thani Ahmad et al. (ed.), 1988. Wajah Biografi Penulis: Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Hj. Salleh. “Tumbuh dengan Asin Laut Johor”. (Biografi Usman Awang: Zaman Awal) dlm. Dewan Sastera, Bil. 1 Jil. 30 Januari 2000.
Safian Hussain et al. (ed), 1988. Glosari Istilah Kesusasteraan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Usman Awang, 1991. Puisi-Puisi Pilahan Sasterawan Negara Usman Awang : Edisi Pelajar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zurinah Hassan, 1990. Sasterawan Negara Usman Awang. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.